KUALA LUMPUR: Seramai 100 atlet yang meraih pingat
pada kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean di Surabaya, Indonesia, pada
28 Jun hingga 6 Julai lepas, menerima sijil penghargaan daripada
Kementerian Pelajaran, Khamis.
Sijil penghargaan untuk atlet yang meraih pingat emas, perak dan
gangsa itu disampaikan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar
Mahmud pada majlis di Sekolah Sukan Bukit Jalil di sini.
"Kementerian menyediakan prasarana sukan yang secukupnya di seluruh
negara kerana sukan merupakan alat perpaduan di kalangan murid.
"Saya berharap atlet sekarang khususnya pelajar sekolah dapat terus
bersaingdan cemerlang di peringkat antarabangsa," kata Abd Ghafar pada
majlis itu.
Pada sukan itu Malaysia meraih 29 pingat emas, 36 perak dan 35 gangsa.
Atlet balapan 800 meter lelaki, Jeeventhiran Victor, 17, berkata
beliau sangat berpuas hati kerana menyumbang satu pingat emas buat
negara.
"Saya amat berbangga dengan kejayaan itu dan akan terus berusaha
mengharumkan nama negara pada pertandingan akan datang," katanya.
Bagi atlet pelapis badminton, Soo Teck Zhi, 16, yang meraih pingat
perak, berkata latihan yang bersungguh-sungguh sebelum hari perlawanan
nyata tidak sia-sia.
"Meskipun hanya dapat pingat perak, saya tetap berpuas hati dengan pencapaian di sana (Indonesia)," katanya.-BERNAMA
sumber : http://mstar.com.my